Subscribe:

11 July 2012

Senyum : seindah ibadah, penyeri wajah, penjalin kasih.


Mungkin anda pernah mendengar kata orang "senyum itu tanda setuju", pasti ia juga pernah terjadi dalam kehidupan. Kita akan tersenyum bila bersetuju dengan sesuatu perkara. Sebagai contoh dalam majlis merisik dan meminang, bila si wali bertanyakan tentang persetujuan anaknya untuk dipinangkan, anak itu sekadar mengangguk dan tersenyum malu sebagai tanda bersetuju untuk menerima pinangan tersebut tanpa perlu bersusah-payah mengeluarkan suara. Hanya seulas senyuman yang memberi isyarat bahawa beliau bersetuju. Mendalam bukan mesej yang dapat disampaikan hanya melalui sebuah senyuman.
Menurut Kamus Dewan Edisi Empat, senyum membawa maksud gerak bibir yang ternaik pada hujungnya yang membayangkan rasa suka seperti geli hati, setuju dan sebagainya tanpa mengeluarkan suara. Senyum adalah riak wajah yang ditunjukkan manusia yang biasanya ketika mereka berasa gembira. Ianya ditunjukkan oleh mulut mahupun mata.
Pelbagai istilah yang cukup unik dikaitkan dengan senyuman, seperti senyum kelat, senyum manis, bahkan kambing juga turut mendapat nama iaitu senyum kambing. Semua jenis senyuman ini merupakan mesej tanpa suara dari hati yang ditafsirkan melalui gerakan bibir dan riak wajah yang dipamerkan. Maka, melalui senyuman secara tidak langsung merupakan cara kita membaca isi hati dan keadaan yang tersirat di dalam diri seseorang.

Umum mengetahui senyuman merupakan sedekah yang paling mudah dilakukan. Berdasarkan hadis dari Abu Dzar, Rasulullah SAW bersabda : “Engkau tersenyum di depan saudaramu adalah sedekah” (Hadis Riwayat Tarmizi, Ibnu Hibban, dan Baihaqi).
Begitu kasihnya Allah SWT kepada hambanya sehinggakan senyum yang sangat mudah dilakukan juga sudah dikira sebagai ibadah yang dapat menambah amalan kebaikan kita. Pasti punya rahsia dan kelebihan tentang senyuman yang ikhlas sehingga ianya merupakan salah satu sifat terpuji yang dipilih untuk diamalkan oleh kita semua.
Selain pahala sedekah yang dapat dilakukan dengan senyuman, terdapat fakta menarik tentang rahsia yang dimiliki dengan sebuah senyuman antaranya ialah senyuman merupakan kunci awet muda juga kesihatan mental dan fizikal seseorang. Mungkin ramai tertanya-tanya, bagaimanakah senyum itu dapat dikatakan sebagai petua awet muda?
Menurut kajian para saintis, senyum dan ketawa merupakan satu senaman berbentuk jogging dalaman di mana dapat merangsang seluruh tubuh dan mampu memberi manfaat berguna kepada sistem saraf otak dan juga hormon. Hal ini terjadi kerana ketika kita senyum atau ketawa, sel pembunuh tumor dan virus semulajadi dalam  badan akan bertambah selaras dengan pertambahan Gamma-inteferon (protein melawan penyakit). Sel T (penting untuk sistem pertahanan badan) dan Sel B (menghasilkan antibodi melawan penyakit).
Malah, memulakan hari dengan senyuman bukan sahaja berupaya menceriakan hidup, tetapi memberi banyak kebaikan kepada kesihatan. Apabila kita tersenyum, badan turut tersenyum dan otak menganggap kita gembira.
Jalinan silaturrahim juga dapat diikat dan semakin utuh dengan senyuman ikhlas yang terukir di bibir. Biar tidak sempat bertegur-sapa apabila berselisih sesama jiran tetangga, tetapi hanya dengan ukiran senyuman ikhlas, kita telah membuat orang senang dan selesa bersama kita. Tidak perlu menghabiskan masa yang panjang untuk bertanya khabar, sebaliknya hanya dengan sebuah senyuman hubungan sesama tetangga, kenalan rapat sentiasa mesra dan akrab.
Islam menggalakkan umatnya sentiasa mengukir senyuman kerana ia merupakan hadiah yang mampu mengubah emosi dan menenangkan hati, sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dialah yang telah menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang beriman supaya keimanan mereka bertambah di samping keimanan mereka (yang telah ada). Dan kepunyaan Allah tentara langit dan bumi dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana,” (Surah al-Fath, ayat 4)
Senyuman mampu menjadi penawar bagi masalah psikologi dalaman seperti kegelisahan hati dan kemurungan. Senyum tidak memerlukan modal, hanya sekelumit rasa ikhlas mampu memaniskan senyuman indah tersebut. Senyuman yang diukir mampu menyerikan hari insan lain juga menyejukkan hati yang sedang marah dan yang paling penting sekali dengan senyuman kita mampu memulakan sebuah ikatan persahabatan baru.
Rahsia dan kelebihan yang terakhir ialah senyuman merupakan tahap keimanan seseorang. Antara sifat orang yang beriman ialah sentiasa berfikiran positif, tenang, sabar, peramah, sentiasa tersenyum dan disenangi oleh semua orang. Sebagai contoh teladan agung dalam kehidupan ini adalah Rasulullah SAW. Baginda  sentiasa mengukirkan senyuman walau dalam apa jua keadaan sekalipun yang akhirnya dengan kemesraan dan kesabaran ini dapat mencairkan dan melembutkan hati musuh-musuh Islam pada ketika itu. Apabila menemui sahabat, senyuman tidak pernah lekang dari bibir Rasulullah SAW.
Seperti kisah Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Jabir, “Sejak aku masuk Islam, Rasulullah SAW tidak pernah menghindar dariku. Dan beliau tidak melihatku kecuali beliau pasti tersenyum kepadaku.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Bahkan, sampai saat terakhir menjelang kematian seseorang, antara tanda-tanda kematian yang baik ataupun husnul khotimah adalah wajahnya kelihatan tenang, damai dan tersenyum seolah-olah ia melihat bidadari syurga berdasarkan hadis dari Abu Darda, Rasulullah SAW bersabda: “ Tidak akan keluar roh seorang yang mukmin sampai dia melihat tempatnya di syurga, dan tidak akan keluar roh seorang seorang yang kafir sampai dia melihat tempatnya di neraka”. (Hadis riwayat Baihaqi).
Kesimpulanya, peluang untuk mendapatkan pahala dan  rahsia awet muda yang sangat mudah melalui senyuman ini haruslah direbut oleh semua orang supaya dengan senyuman kita mampu membuat orang lain turut bersenang hati seperti rangkap lagu yang berbunyi, ‘bila semua orang senyum, dunia tiada penyakit’.
Semoga dengan sedekah yang  mudah ini kita dapat mengeratkan lagi hubungan sesama insan serta memperolehi kesihatan mental dan fizikal dengan mengamalkannya. Ukirlah senyuman yang paling manis kerana ia ibarat lukisan hati yang mampu menjadi penawar bagi hati yang sedang berduka.
  ~~ from reading to be A'lim~~ 

1 comments: